Wednesday 9 January 2013

NAFSU, HAWA DAN SYAHWAT

NAFSU

Tahukah anda nafsu, hawa dan syahwat adalah benda yang sama. Sebelum saudara bercakap, berbahas atau berdialog atas satu tajuk pastikan kita mengenali benda itu atau kenal benar supaya bila kita bincang ianya jadi seronok dan bertambah Ilmu. Kan selesa bila kita bincang satu perkara yang kita kenali. Sebaliknya ia akan menjadi bercelaru atau bertambah confuse malah boleh membawa kepada pergaduhan jika diantara kita berbahas benda yang kita tidak kenal.

Nafsu ialah sejenis makhluk spesies ROHANI yang bersifat Latifah Rabbaniah yang menyelinap dalam badan kita yang tidak dapat dikesan melalui Ilmu muamalat. Ianya akan mengalir dalam darah dan saraf kita selagi tempoh hayatnya masih ada. Ianya akan berehat dilubuk sanubari kita dan tidur, dan sekiranya ia pindah keluar kita akan mati. Sebagaimana firman Allah Taala,

الله يتوفى الانفش حين موتها والتي لم تمت في منا مها

Bermaksud kurang lebih, " Allah akan mewafatkan kamu ketika kamu sampai ajal atau mati dan bagi mereka yang belum sampai ajal Allah akan mewafatkan dirinya ketika ia tidur ".

Ini bermakna dalam badan kita wujudnya ruhulyaqazah dan ruhulhayat. Kalau roh Yaqazah yang keluar kita jadi tidur, dan kalau kedua-duanya keluar kita akan mati kerana itu tanda ajal sudah sampai.

Berbalik kita kepada persoalan nafsu pula. Ianya makhluk halus bersifat Latifah Rabbaniah yang Allah jadikannya dahulu sebelum  jadi bumi dan alam semesta lagi. Ketika itu kita berada dialam ROH.

Seterusnya nafsu ini dipasang oleh Allah kedalam jasad kita semasa dalam perut ibu ketika berumur empat bulan.



HAWA

Hawa ialah sifat atau tabiat nafsu yang berfungsi mendorong jasad yang inginkan dan amat suka kepada perhiasan dunia dan keindahannya. Ia gemar sekali membawa kita kepada mengejar kemewahan, kecantikan, kesihatan, keseronokan, kenikmatan dan apa sahaja hiasan dunia tanpa batas. Ia akan melakukan apa sahaja untuk menyempurnakan habuannya dan sanggup menghancurkan dunia ini demi cita- citanya. Justeru itulah maka manusia terpaksa dikawal melalui undang-undang atau syariat.




Sebaliknya ia tidak akan gemar sekali-kali perkara-perkara seperti susah, kemiskinan, kesakitan, kehilangan harta, jatuh pangkat, tidak dipuji, dihina, dipandang rendah dan tidak akan redha dengan semua ujian kesusahan dan bala dari Allah.

Barang harus diingat sifat hawa dan nafsu ganas ini juga berfungsi dan wujud dalam tabiat binatang yang mana jika tidak dikawal dia akan menjadi seperti binatang malah mungkin lebih teruk dari binatang.

SYAHWAT

Nafsu dan hawa ini akan terus mengganas dan melampaui batasan normal apabila ia berpindah kepada SYAHWAT. Ia akan bertukar menjadi ganas luar biasa dan akan membinasakan Alam ini dengan keganasannya. Ini berlaku bila Syahwat telah mengambil alih pentadbiran nafsu dan manusia akan menjadi gila seks, gila kuasa, gila harta, gila pangkat, gila puji, gila masyhur, gila ,gila, gila dan akhirnya binasa dalam Neraka Jahim waliazubillah.

Dan inilah maksud firman Allah,

ارايت من اتخذ الهه هوا


"Ya Muhammad, apakah Engkau dapat melihat mereka-mereka yang mengambil nafsunya sebagai Tuhan"

Untuk inilah maka Allah utuskan RasulNya untuk mengajar kita bagaimana mengawal, melawan dan menundukkan hawa nafsu dan seterus menakluknya dan membawa kita bertukar dari berTuhankan Nafsu kepada mengabdikan diri kepada ALLAH.

Anda dinasihatkan menerokai Ilmu ini dan jangan jemu,  InsyaAllah akan mendapat kemenangan. Wassalam.

Monday 7 January 2013

JADILAH ULAMA' CONTOH JANGAN JADI ULAMA' CAKAP

Anda jangan terpesona dengan lontaran kata-kata semangat, bermadah-madah dan berirama seni dalam mempertuturkan Islam yang terkeluar dari lidah seorang bergelar ustaz atau guru agama. Malah ditakuti dan dikhuatiri ianya seorang hamba kepada sebuah majikan atau seorang peminta sedekah dengan menjual ayat-ayat Allah dengan menyanyikan lagu Agama. Paling malang lagi suara Islam ini keluar dari mulut pendendam, pendengki atau mereka yang ada personal interest (kepentingan peribadi). Lagi bertambah aib  andai kata Ilmu agama diambil dari mulut Yahudi Waliazubillah.

Anda yang budiman diibaratkan sebagai seorang yang dalam kehausan dan dahaga atau dalam kelaparan  yang ingin mencari sesuap rezeki dari sebuah restoran. Andai kata restoran itu gred B atau C malah pernah disaman oleh majlis daerah dek kerana kekotorannya, maka hidangannya perlu di ragui. Anda seorang yang masih suci dan adalah berhak mendapat makanan yang suci.

Tetapi persolan besar yang akan timbul ialah bagaimana hendak mengenal pasti restoran itu pasti menghidang makanan yang bersih? Sudah pasti pemiliknya merahsiakan cara memasak dan sudah barang tentu tidak membenarkan anda menceroboh ruang dapurnya.

Ulama' akhirat yang ikhlas tidak akan menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Mereka tidak akan mengambil upah dan bayaran dalam urusan agama. Kalau anda beri apa-apa habuan dunia padanya dia ambil tetapi  tidak pernah meminta. Andai dia dimarah, dimaki hamun dan dicerca ia sabar. Kehidupannya sederhana, kaya dan miskin baginya sama sahaja. Tidak sekali-kali kecewa dengan kehilangan kenikmatan dunia. Mereka tidak mengeluh dengan kesusahan hidup. Di wajah mukanya sentiasa senyum tanda puas dengan Allah.

Ulama' akhirat juga mencedok Ilmu dari sumber yang suci dan kaedah pengambilan ilmu mengikut adab yang ditetapkan oleh syarak. Caranya dengan mengabdikan diri kepada gurunya, taat, jujur dan jauh sekali menderhaka kepada gurunya. Segala perintah gurunya seperti memunggah air, menjaga kambing, menyiram pokok dan apa sahaja perintah dan nasihat guru diikuti dengan penuh setia.

Ulama' akhirat juga mendapat ilmu dari gurunya yang terkenal wara', alim, zuhud, penyayang, amat kasih kepada murid bagai bapa dengan anak jauh sekali ingin bersukaria bergelak ketawa bermain perkara- perkara yang sia-sia seperti golf, bola sepak, badmintan dan sebagainya sebab itu semua lambang kelalaian.

Ulama' akhirat akan menjadikan malamnya sebagai masa dan waktu berkomunikasi dan bermesra dengan Tuhannya dan disiang hari dengan masyarakat dan muridnya.

Pendekata anda boleh menjadikannya idola dan contoh dalam hidup anda dan keluarga anda dan anda tidak rugi apa-apa.

Tetapi saya sendiri pun tak tahu mana nak cari, siapa dia dan di mana ia berada. Kalau ada dikalangan anda bertemu dia bagitahu saya kerana saya ingin jadi dia. Kalau anda tidak bertemu dia itu tanda malang akan menimpa kita. Penjualan agama melalui lidah yang berbisa tidak cukup untuk memimpin kita kadang- kadang boleh mengundang malapetaka. Aduhai susahnya mencari orang seperti dia diakhir zaman yang penuh tipu daya.



Wassalam.