Thursday 22 January 2015

BAHAYA BERGURU DENGAN ORANG FASIQ

Saudara yang dikasihi sekalian, ada lima unsur yang kita tidak layak berguru dengannya;

1).  Jahil tentang agama
2).  Menjatuhkan maruah orang Islam
3).  Suka melakukan perkara yang sia-sia
4).  Suka mengikut hawa nafsu serakah
5).  Berakhlak kasar dan buruk

1). Jahil tentang agama

Ini suatu perkara yang jelas tidak perlu huraian panjang. Jahil ialah mereka yang kurang mengetahui tentang agama lebih-lebih lagi tentang fardhu ainnya sendiri pun tidak lepas. Ini boleh dikesan melalui amalan dan percakapannya yang selalu tersasar dari kebenaran Islam.

2).  Menjatuhkan maruah orang Islam

Ini dapat dikesan melalui lidahnya yang celupar, suka mencaci, menghina dan memandang rendah kepada orang Islam. Lebih malang lagi menuduh orang lain yang seagama dengannya sebagai kafir dan murtad. Ini sudah dikira amat jijik dan memalukan.

3).  Suka melakukan perkara yang sia-sia

Ini dapat dikesan melalui watak peribadi seseorang yang gemar berhibur, bersuka ria, bergelak ketawa dan sebagainya.

Termasuk perkara yang sia-sia ialah seperti kuat merokok, suka berpoya-poya, banyak menghabiskan masa di warung-warung, berjenaka berlebihan dan suka berhibur.

4).  Suka mengikut hawa nafsu

Ini sudah menjadi lebih sukar untuk ditapis kerana terlalu banyak dikalangan kita tewas dengan kehendak nafsu. Saya misalkan di sini seperti gila nama, gila masyhur, gila pangkat, suka dipuji, pantang ditegur, gemar kepada kemewahan, panasbaran dan tidak bersedia menerima pandangan orang lain.

5).  Berakhlak kasar dan buruk

Ini adalah personaliti seseorang. Akhlak yang buruk seperti bergaul dengan perempuan ajnabi tanpa segan silu, tidak memakai kopiah, suka berpakaian ala barat atau mencontohi pakaian kuffar, tidak halus dalam berbicara, makan berdiri dan sebagainya yang menzahirkan ia tidak berdisiplin dan berakhlak mulia.

Itulah dia garis kasar dan panduan asas kepada sesiapa yang sedang dalam pencarian!!!!!!!.

AKIBAT YANG DITAKUTI

Apabila guru yang anda pilih itu nilai dan mutu akhlaknya lebih rendah, ini akan melahirkan rasa puas dalam diri dan lantas anda berpendapat anda sentiasa dalam keadaan sempurna dari semua segi. Andaikata ini berlaku maka ia akan membawa kepada perasaan takabbur dan merasa diri sudah sempurna kerana guru dan idola yang anda sanjungi akhlak dan ibadatnya tidak baik.

Bertambah parah lagi andaikata guru itu berfahaman sesat atau salah ajarannya maka anda akan menjadi pembelanya.







Paling malang lagi anda akan menentang siapa sahaja yang membawa fahaman yang bercanggah dengan pembawaan yang dibawa oleh guru pujaan anda. Andaikata ini berlaku, untuk maklumat anda tidak ada sesiapa yang boleh menolong kecuali ALLAH.