Friday 12 February 2016

JERANGKAP SAMAR IBLIS MENGENA

Anda dan saya adalah antara penghuni bumi dipenghujung zaman. Ini bermakna kita berdepan dengan satu zaman kehancuran dan zaman fitnah. Andai kata anda tidak memiliki kayu pengukur dan pemimpin yang mursyid anda juga akan kecundang.

Dalam hal Akidah saya rasa majoriti setuju yang mana semua dikalangan umat Islam tidak lagi tahu perbezaan yang mana WAHABI, yang mana SYIAH, yang mana QADARIAH, yang mana JABARIAH, yang mana MUKTAZILAH, yang mana MUJASSIMAH, yang mana MUFARRIDAH; semuanya sama dan betul belaka
الله اكبر

 Dalam hal Mazhab pula kebanyakan dikalangan kita tidak lagi dapat membezakan yang mana mazhab SYAFIE, yang mana mazhab HANAFI, yang mana mazhab MALIKI dan yang mana HANBALI semuanya sama dan boleh dipakai semuanya yang akhirnya menjadikan kita bermazhab SERBABOLEH.

Bagaimana dan bilakah terjadinya perkara ini tidak dapat dikesan oleh pakar pengkaji sejarah. Lebih malang lagi semuanya mengaku berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Waljamaah.

Apabila ada dikalangan cerdik pandai Islam mengambil pendekatan mentafsir dan memahami dalil Umum Al-Qur'an dan dalil Umum Al-Hadis dengan akal fikirannya maka sudah pasti akan berlaku pertembungan fikiran dengan yang lain maka berlakulah peperangan IDEOLOGI yang amat merbahaya.


Sedang belajar Al-Qur'an dalam masjid



Sebenarnya semua pertelingkahan sudah selesai, permasaalahan telah ada keputusan cuma kita penghuni dunia akhir zaman diharuskan mengikut dan berpegang kepada MAZHAB dan keyakinan pegangan yang menjadi pilihan.

Dari sini terbentuklah fahaman Syiah berbahagia dengan Syiahnya, fahaman Wahabi berbahagia dengan Wahabinya, fahaman Mujassimah berbahagia dengan Mujassimahnya, fahaman Qadariah berbahagia dengan Qadariahnya.

Sebaliknya apabila cerdik pandai dari kalangan Ulama' moden bangun membawa dan menjual buah fikirannya dan dibantah pula oleh ulama' yang lain maka berlakulah pergaduhan dan boleh membawa kepada peperangan.

Jalan keluar yang paling bijak ialah kembali kepada fahaman dan pegangan asal yang diwarisi oleh Ulama' muktabar silam yang mashyur dan terkenal, ilmunya yang tinggi dan syahsiah diri yang mulia.

Dalam hal yang sama amalan-amalan ini sudah berlaku berabad-abad lamanya dan anda yang baru hidup setahun jagung tidak perlu meraguinya kerana tidak cukup syarat untuk menentang keilmuan dan kebijaksanaan mereka.

Saya contohkan seperti amalan membaca Yaasin malam Jumaat, amalan membaca berzanji, amalan Maulidur Rasul, amalan ziarah kubur, amalan bertawassul, amalan berzikir dan sebagainya sudah selesai dibahas dan tidak ada keraguan tentang keharusannya. Jadi bila ada ulama' yang cuba mempertikaikan amalan ini saya percaya akan ditentang sehingga keakhirnya.

Kalaupun ada yang cuba mempertikaikan amalan ulama'-ulama' silam yang sudah termashyur maka anda harus ingat anak-anak muridnya masih hidup.

Kesimpulannya ilmu yang ada pada ulama' muda atau ulama' akhir zaman tidak setanding debu di tapak terompah TOK KENALI.

Waspada jerangkap samar Iblis mempelagakan umat Islam sentiasa terbuka.