Monday 16 November 2015

KAEDAH PENGUASAAN ILMU HAQIQAT


Banyak dikalangan kita ambil mudah dan pandang remeh terhadap Ilmu Haqiqat kerana mereka tidak menguasai dan tidak memahaminya mungkin.

Disini harus kita fahami dengan teliti bahawa Ilmu ini tidak mungkin dapat dimiliki melalui pembelajaran biasa dan guru feqah yang lemah. Ia perlu diambil melalui guru sufi yang mursyid dengan kaedah yang tersusun rapi.



Ilmu wajib dipelajari dengan berguru

Di antara kaedah awal mempelajari Ilmu ini ialah ikatan perjanjian pengajian dengan seorang guru yang layak dan  telah melepasi ujian sufism yang dilatih khas oleh gurunya dan mendapat keizinan untuk diajar kepada penuntut lain.

Guru Tariqat atau Haqiqat umurnya wajib melepasi 40 tahun keatas dan biasanya bergelar sheikh. Ia nya hendaklah mahir dalam bidang ilmu kerohanian dan memahami selok belok pembersihan HATI dan sihat fikirannya dalam memahami akidah Ahlussunnah Waljamaah.

Di antara langkah awal yang perlu dilalui ialah;

1)  Berhenti daripada melakukan maksiat sama ada dosa besar dan dosa kecil serta merta.
2)  Tidak meninggalkan ibadah asas dan memiliki ilmu feqah yang sempurna.
3)  Mempastikan sentiasa memakan makanan yang halal dan elakkan memakan makanan syubhah.
4)  Berpuasa sunat untuk pembersihan diri.
5)  Melakukan infak dan zakat untuk pembersihan harta.
6)  Diwajibkan mengikuti kelas atau majlis ilmu untuk mendalami ilmu feqah dan amalan harian.
7)  Perlu mendapat keizinan dan persetujuan bersama dengan guru yang berkenaan.
8)  Tidak tunduk dengan kehendak isteri seharusnya bersifat sebagai AL-RIJAL.

Dalam mengamal dan menjalani ilmu ini tidak perlu berhujah panjang lebar dan mencari bukti dan sebanyak-banyak dalil apa yang penting ialah konsisten beramal, banyak berpuasa sunat, ibadat malam yang berterusan dan berkekalan dalam ibadah.






Guru sufi berkuasa penuh terhadap penyusunan dan kaedah penyampaian ilmu dan tidak boleh terpengaruh dengan cadangan luar yang bercanggah dengan aliran sufi khususnya dari fahaman wahabi.

Murid-murid dan pengikut yang ada keraguan dan gemar melanggar peraturan perlu dikeluarkan dengan kadar segera, ini bagi mengelakkan mempengaruhi dan mencetuskan persepsi buruk dikalangan murid-murid yang lain.

Kewajipan seorang guru sufi memimpin dan mendidik muridnya dalam semua aspek. Ianya merangkumi akhlak peribadi, penggunaan harta dan kewangan, mendidik isteri, cara berpakaian, dan mempastikan kehidupannya berjalan atas dasar syariat.

Setiap murid dan para penuntut ilmu Hakikat tidak boleh sekali-kali berkecil hati dan jauh sekali berdendam terhadap gurunya bila ditegur atau dimarahi. Ini kerana ia bertujuan semata-mata mencari keredhaan Allah. Barang harus diingat seorang guru sufi tidak ada cita-cita dan kepentingan peribadi selain dari menuntut dan mencari keredhaan Allah.

Andaikata kaedah atau prinsip-prinsip yang diberi ini tidak dihayati sepenuhnya anda bolehlah melupakan untuk menguasai ilmu hakikat.

Walaubagaimana pun kegagalan menguasai ilmu ini tidak menjejaskan keislaman seseorang ia kekal mendiami status orang awam tetapi ia tidak layak sekali-kali memimpin manusia lain. Bagaimana mungkin anda boleh  memimpin orang lain dalam kedudukan anda yang gagal memimpin diri sendiri.