Ini adalah dari susulan Nabi S.A.W. memberi panduan umatnya akan berpecah kepada 73 puak dan satu puak sahaja yang akan memasuki syurga.
Dari sinilah timbulnya persaingan dan perselisihan yang banyak kerana semua umat Muhammad ingin memasuki syurga Allah. Dalam masa yang sama mereka berbunuhan sesama sendiri dan tuduh menuduh, kafir mengkafir antara satu sama lain, caci mencaci, benci membenci sampai tahap menghina sesama Islam.
Alangkah anehnya makin ghairah mencari kebenaran dan keredhaan Allah makin jauh tersasar dari jalan Allah.
Anda dan saudara yang saya kasihi sekalian jangan terpesona dengan dasar dan slogan Islam yang meragukan, berpeganglah kepada ajaran Al-Qur'an dan Sunnah Nabi S.A.W.
Dalam hal ini Ulama'-ulama' ASWJ menggariskan jalan yang benar itu ialah berpegang kepada;
1) Al-Qur'an
2) Al-Hadis
3) Ijma'
4) Al-Qias
Saudara boleh melengkapkan Ilmu dengan mempelajari Ilmu Al-Qur'an dan tafsirnya. Ilmu hadis dan huraiannya. Ilmu-ilmu alat seperti ilmu feqah, ilmu nahu, ilmu tasawwuf dan sebagainya. Dengan itu saudara jadikan ilmu yang saudara pelajari itu sebagai kayu pengukur. Andai kata ada perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum hakam Al-Qur'an, dan tidak kena pula dengan warid hadis, atau tidak kedapatan dalam amalan ulama'-ulama' muktabar maka ketika itu anda harus ragui ke atas sesuatu ajaran dan amalan bersabit dengan Agama Islam.
Dalam majlis pengajian saudara boleh bertanya dan berbincang |
Masaalah besar yang timbul ialah ilmu tidak seberapa, pengajian ilmu alat terlalu cetek, penguasaan bahasa arab diragui, akhlak dan shaksiah diri terlalu rendah maka dalam kedudukan ini bagaimana mungkin anda berjaya memisahkan antara yang hak dan yang batil.
Dalam hal minat dan bersungguh-sungguh dalam dakwah adalah satu kebaikan yang perlu dibanggakan tetapi berdakwah dalam kedudukan diri dalam kejahilan adalah satu kerosakkan besar pada diri dan masyarakat.
Apa yang ditakuti sekali ialah sipenyebar agama atau pendakwah menjadikan kerja agama ini sebagai satu sumber rezeki maka akhirnya terperangkap dalam lembah ria'.
Atau barangkali hati yang belum suci dan bergelumang dengan mazmumah akhirnya terperangkap dalam lembah tipudaya nafsu dan beralih niat mengejar mencari kemasyhuran.
Kerap kali juga kita mendengar berita si pendakwah ditangkap khalwat, terlibat dengan rasuah, melakukan jenayah, malah ada yang mengekalkan dosa kecil dan lebih parah lagi ada yang melakukan dosa besar.
Pendekkata pengakuan diri dikedudukan orang suci, mengaku alim, menjual agama untuk membeli dunia dan pada dirinya ada tanda fasiq tak payahlah mencebur diri dalam bidang dakwah.
Kalau ilmu Islam tidak lengkap, kefahaman masih ditahap rendah, bagaimana anda boleh menghukum dan mengenal pasti siapa ASWJ.
Cadangan saya untuk meluluskan diri dari terjerumus kelembah kesesesatan dan ditawan oleh pendakwah yang jahil anda hendaklah menghabiskan masa dengan menuntut Ilmu dari mana-mana guru yang masih hidup. Kata orang tua-tua hendaklah berguru. Berguru tidak sama dengan mendengar ceramah kerana ia ada kaedah dan cara-cara yang tersusun rapi.
Andaikata anda tidak memagari diri anda dengan Ilmu, anda akan mengaku ASWJ dalam kedudukan tidak benar.
Anda mengaku ASWJ dalam masa yang sama memuja fahaman Syiah.
Anda mengaku ASWJ dalam kedudukan fahaman MUKTAZILAH.
Anda mengaku ASWJ dalam situasi QADARIAH.
Paling menakjubkan lagi menentang fahaman WAHABAYYIN dalam keadaan anda sendiri pengamal ajaran WAHABI.
Ini semua berlaku disebabkan tidak berguru dan gemar mengambil Ilmu dari sumber bacaan dan berpegang dengan hasil tulisan dan karya.
Sudah-sudahlah, peluang belajar masih terbuka luas, selamatkan diri dan keluarga sendiri dari azab Allah. Selamat berjuang menuntut Ilmu.