NILAIAN WARNA DARI SEORANG BUTA

Dalam hal mencari keredhaan Allah dan mengejar mencari kebenaran menjadi satu kewajiban, tetapi mendapat dan menemui seorang guru  untuk memimpin kita ke jalan Allah belum ada jaminan.

Kadangkala dan banyak masa kita membazirkan waktu dengan mencari kebenaran dan keredhaan Allah dari tangan musuh Allah.

Kadangkala banyak masa kita terbuang mencari Ilmu dan belajar agama dari tangan orang Fasiq.

Kadangkala tanpa kita sedar kita menuntut ilmu dan mencari keredhaan Allah dari seorang bukan ahli agama.

Paling malang sekali ulama' tempat kita menyerah diri dan menaruh harapan pimpinannya adalah ulama SUU', yang berpakaian dan berwatak ulama' tetapi pencinta dunia.

Perkara sebegini boleh terjadi disebabkan apabila seseorang yang menuntut Ilmu bukan kerana Allah.


Ada orang menuntut Ilmu untuk mencari kemasyhuran.
Ada yang menuntut Ilmu untuk mencari kedudukan dalam masyarakat.
Ada orang menuntut Ilmu untuk berbahas dan berdebat untuk jadi jaguh.
Yang paling malang sekali menuntut Ilmu akhirat untuk tujuan keduniaan.

Andaikata orang-orang yang saya sebut tadi memiliki Ilmu atau mencapai kejayaan dalam bidang Ilmu agama maka sudah pasti ia akan berperanan sebagai ahli AGAMAWAN atau seorang DAIE.

Status Agamawan dan Daie, yang dipakai akan membawa kemusnahan kepada pendengar dan kerosakan dalam system penurunan cahaya Ilmu. 

Penceramah agama yang inginkan kemasyhuran akan menggunakan keistimewaan kemerduan suaranya atau gaya bahasanya atau teknik penyampaiannya untuk mempengaruhi pendengar,
kadang-kadang untuk tujuan ini mungkin mereka akan mengguna pakai nasihat seorang pakar seni lakonan.

Penceramah Agama yang inginkan kedudukan dalam masyarakat atau bercita-cita menjadi seorang pemimpin akan mendorong beliau menjadi seorang pengampu atau kaki bodek supaya mendapat tempat dan perhatian orang ramai. Kadangkala juga boleh terlajak kepada mereka-reka hukum agama
dan mengada-ada.

Penceramah yang cekap dan pintar fikirannya akan membuat kajiselidik dan pentafsiran Al-Qur'an melalui kepintaran otaknya dan ini boleh membawa kepada tersalah dari segi BALAGHAH Al-Quran. Tersalah dari segi BALAGHAH adalah haram kerana mentafsir Al-Qur'an menggunakan Akal.

Bagi orang-orang Alim yang cinta dunia pula akan menggunakan kesempatan kelebihan Ilmu yang ada padanya untuk memikat masyarakat dan meletakkan dirinya ditempat yang tertinggi dan mengaut keuntungan semaksima mungkin.

Dari sinilah bermulanya fatwa, keputusan agama dam hukum yang meragukan.

Oleh sebab mereka-mereka ini tidak dapat menjalani ketulusan dalam mencari Ilmu, tuntutannya adalah duniawi semata-mata maka mata hatinya tertutup dari cahaya.

BAGAIMANA MUNGKIN SIBUTA MENILAI WARNA. 

Saudara tidak mungkin bertemu penyelesaian dan jawapan kepada persoalan ini, atau tidak bertemu jalan keluar kecuali mendalami ilmu Makrifat.

Imam AL Syafie RHT, pernah bertanya kepada gurunya bernama Waqi', kenapa susah sangat dalam menguasai dan menghafal Ilmu, maka lalu dijawab gurunya "HENDAKLAH KAMU MENINGGALKAN SEMUA MAKSIAT( BERMAKNA SUCIKAN DIRI), KETAHUI OLEHMU WAHAI SYAFIE ILMU ITU ADALAH CAHAYA DAN CAHAYA TIDAK BOLEH MENEMBUSI DADA SI PEMBUAT MAKSIAT"

Saya sendiripun terkapai-kapai dan masih tidak menemui seorang ulama' Akhirat untuk saya serahkan diri sebagai khadam.

Kalau ada yang menuntut Ilmu kerana Allah.
Mengajar Agama kerana Allah
Memimpin manusia kepada Allah,
Menjadikan dirinya hamba Allah yang membawa hamba kepada Allah.
Tidak memiliki dan tidak dimiliki ia puas dengan Allah.
Itulah dia Auliaullah.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.