Anda jangan terpesona dengan lontaran kata-kata semangat, bermadah-madah dan berirama seni dalam mempertuturkan Islam yang terkeluar dari lidah seorang bergelar ustaz atau guru agama. Malah ditakuti dan dikhuatiri ianya seorang hamba kepada sebuah majikan atau seorang peminta sedekah dengan menjual ayat-ayat Allah dengan menyanyikan lagu Agama. Paling malang lagi suara Islam ini keluar dari mulut pendendam, pendengki atau mereka yang ada personal interest (kepentingan peribadi). Lagi bertambah aib andai kata Ilmu agama diambil dari mulut Yahudi Waliazubillah.
Anda yang budiman diibaratkan sebagai seorang yang dalam kehausan dan dahaga atau dalam kelaparan yang ingin mencari sesuap rezeki dari sebuah restoran. Andai kata restoran itu gred B atau C malah pernah disaman oleh majlis daerah dek kerana kekotorannya, maka hidangannya perlu di ragui. Anda seorang yang masih suci dan adalah berhak mendapat makanan yang suci.
Tetapi persolan besar yang akan timbul ialah bagaimana hendak mengenal pasti restoran itu pasti menghidang makanan yang bersih? Sudah pasti pemiliknya merahsiakan cara memasak dan sudah barang tentu tidak membenarkan anda menceroboh ruang dapurnya.
Ulama' akhirat yang ikhlas tidak akan menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Mereka tidak akan mengambil upah dan bayaran dalam urusan agama. Kalau anda beri apa-apa habuan dunia padanya dia ambil tetapi tidak pernah meminta. Andai dia dimarah, dimaki hamun dan dicerca ia sabar. Kehidupannya sederhana, kaya dan miskin baginya sama sahaja. Tidak sekali-kali kecewa dengan kehilangan kenikmatan dunia. Mereka tidak mengeluh dengan kesusahan hidup. Di wajah mukanya sentiasa senyum tanda puas dengan Allah.
Ulama' akhirat juga mencedok Ilmu dari sumber yang suci dan kaedah pengambilan ilmu mengikut adab yang ditetapkan oleh syarak. Caranya dengan mengabdikan diri kepada gurunya, taat, jujur dan jauh sekali menderhaka kepada gurunya. Segala perintah gurunya seperti memunggah air, menjaga kambing, menyiram pokok dan apa sahaja perintah dan nasihat guru diikuti dengan penuh setia.
Ulama' akhirat juga mendapat ilmu dari gurunya yang terkenal wara', alim, zuhud, penyayang, amat kasih kepada murid bagai bapa dengan anak jauh sekali ingin bersukaria bergelak ketawa bermain perkara- perkara yang sia-sia seperti golf, bola sepak, badmintan dan sebagainya sebab itu semua lambang kelalaian.
Ulama' akhirat akan menjadikan malamnya sebagai masa dan waktu berkomunikasi dan bermesra dengan Tuhannya dan disiang hari dengan masyarakat dan muridnya.
Pendekata anda boleh menjadikannya idola dan contoh dalam hidup anda dan keluarga anda dan anda tidak rugi apa-apa.
Tetapi saya sendiri pun tak tahu mana nak cari, siapa dia dan di mana ia berada. Kalau ada dikalangan anda bertemu dia bagitahu saya kerana saya ingin jadi dia. Kalau anda tidak bertemu dia itu tanda malang akan menimpa kita. Penjualan agama melalui lidah yang berbisa tidak cukup untuk memimpin kita kadang- kadang boleh mengundang malapetaka. Aduhai susahnya mencari orang seperti dia diakhir zaman yang penuh tipu daya.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.